Tuesday, November 10, 2009

KISAH HAMBA ALLAH YANG AMANAH KETIKA HIDUP DAN MATINYA


Ketika berlangsungnya perang salib, ad terdapat beberapa peristiwa yang menarik. Peristiwa ini adalah mengenai seorang penyelam (juru selam)muslim yang bernama ‘Isa’. Beliau membawa masuk sejumlah surat dan perbekalan ke Akka dengan cara mengikat di pinggangnya, pada waktu malam di saat musuh tidak sedar, beliau menyelam dan keluar dari tepi sebelah perahu pihak musuh.

Pada suatu malam diikat di pinggangnya tiga buah bungkusan berisikan satu ribu dinar dan sejumlah surat-surat yang berkenaan dengan urusan ketenteraan. Isa menyelam ke dalam laut, rupa-rupanya beliau menemui ajal. Berita mengenainya terlambat sampai kepada tentera yang menunggunya. Menurut kebiasaannya, bila beliau memasuki Bandar Akka, seekor burung akan terbang untuk memberitahu kamimengenai kehadirannya. Burung yang ditunggu-tunggu tidak datang, tentera yang menantinya khuatir jika Isa menemui ajal.

Setelah selang beberapa hari, sewaktu salah seorang penduduk berada di tepi laut Akka, tiba-tiba ombak telah membawa seorang yang telah mati lemas ke tepi pantai. Rupa-rupanya dialah juru selam Isa tersebut. Mereka menemui emas dan surat-surat di pinggangnya. Emas itu adalah kegunaan perbelanjaan para pejuang Islam. Tidak pernah diceritakan orang mengenai seseorang yang menunaikan amanah semasa hidup dan setelah mati kecuali lelaki (juru selam) ini.

Wednesday, November 4, 2009

‘ILMU’ Just Lillahita’ala


Hahaha.. bestnyerr.. selesai pun exam aku..
Lepas ni nak buat ape ye.. ermmmm..
Nak tidur setahun..
Nak makan sampai boncet..
Nak main game bola PES 2009 sampai laptop rosak..
Merdekaaaaaa……!!!



Salam imtihan buat warga kampus khususnya sahabat-sahabat atuk di UKM. Moga dalam keadaan sihat dan senantiasa di bawah payung naungan keredhaan Ilahi hendaknya. Peperiksaan sudah pun bermula di kancah perbukitan ilmu. Mudah-mudahan apa yang diharapkan kejayaan berpihak pada kita. Samada kejayaan di dunia mahupun di akhirat.

Sahabat-sahabat mahasiswa/siswi sekalian,
Di sisni atuk ingin melontarkan persoalan kepada diri atuk dan sahabat-sahabat. Adakah ilmu yang kita cari ini hanyalah semata-mata kemuncaknya di hari peperiksaan sahaja? Adakah Penat lelah yang kita lalui semasa menimba ilmu di dewan-dewan kuliah dan tutorial hanyalah semata-mata ingin dibuang dan dimuntahkan segala-galanya di kertas-kertas soalan peperiksaan? Jika ‘ya’ jawapannya, maka kita bukanlah hamba yang benar-benar mencari ilmu kerana Allah swt. Jika kita melihat pada zaman umat terdahulu, ketika mana para sahabat menuntut ilmu, hanyalah kerana Allah, semata-mata ingin mengembangkan Islam. Maka hasilnya kita dapat melihat Islam berkembang sehingga kini dengan gahnya. Mereka menjadi da’i yang hebat. Abid yang alim. Sedangkan mereka tidaklah melalui ujian dan peperiksaan di DECTAR, DG, KTAM, Lobi A, B, C, D dan sebagainya seperti mana yang kita lalui. Akan tetapi mereka bersungguh-sungguh menimba ilmu hanyalah kerana Allah swt.

Oleh itu, atuk ingin meminta kepada semua warga kampus khususnya UKM, marilah kita mengadaptasikan ilmu kita kepada masyarakat. Kitalah da’i, kitalah agen perubah, kitalah aset kepada negara yang akhirnya akan merubah dan menggoncang dunia dengan ilmu yang kita miliki. Bukan hanya sekadar melepaskan segala-galanya di kertas soalan dan seolah-olah tamat dan gugurlah riwayat Ilmu dalam hidup kita selepas tamat peperiksaan. Mahasiswa sepatutnya mempunyai kelebihan kerana ‘Ilmu’. Peperiksaan hanyalah sekadar menilai kebolehan kita di pentas dunia sahaja. Akan tetapi ingatlah, bahawa kita mempunyai peperiksaan yang hakiki iaitu ‘kematian’. Atuk yakin dan percaya, jika kita adaptasi dan menterjemahkan ilmu kita di dalam masyarakat sekeliling hanyalah semata-mata ingin mengembalikan ‘ketuanan Islam’ suatu hari nanti, InsyaAllah kita akan berjaya di hari peperiksaan yang hakiki yang mana akan di soal oleh ‘pensyarah’ munkar dan nakir. Hebat manapun kita, pandai cerdik sekalipun kita, kaya mewah sekalipun kita, jika kita tewas dalam mengamal dan menyampaikan ilmu yang kita ada, maka bersedialah kamu untuk gagal dalam peperiksaan yang hakiki sekaligus di azab oleh Allah swt.

Ayuhlah sahabat-sahabat mahasiswa/siswi, jadikanlah ilmu kita sebagai jalan untuk kita menyampaikan dakwah dan amalan seharian dalam kehidupan, bukan sekadar dijadikan hiasan di dalam dada dan akhirnya hilang begitu sahaja kerana dek maksiat yang telah kita lakukan. Kita juga perlu ingat, bukan hanya sekadar mencari kejayaan dalam peperiksaan final sahaja, akan tetapi mengjangkau lebih daripada itu, bahawa kejayaan menggapai dan mencari keredhaan Allah itu adalah lebih utama. Kita mestilah meletakkan authority kita sebagai mahasiswa dan dalam masa yang sama kita juga perlu sedar, priority keutamaannya kita adalah khalifah di muka bumi Allah. Ilmu dan amal haruslah disatukan. ‘ilmu tanpa amal sama seperti pokok tanpa buah.

Firman Allah swt:
"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat".
(al-Mujadalah: 11).

Saturday, September 5, 2009

ARTIS ‘QUDWATUN HASANAH’…???

Salam Ramadhan buat cucu-cucuku sekalian.. Alhamdulillah setinggi-tinggi kepujian kita rafa’kan kepada Rabbul Jalil selaku Tuan punya dunia kerana limpah InayahNya masih lagi kita diberi peluang menghembuskan nafas dimuka bumi Allah sekaligus diberikan nikmat iman jua Islam secara percuma dan ‘cash’. Selawat serta salam Khususan ila nabi Muhammad saw. Mungkin kali ini aku ingin meluahkan sedikit perasaan yang berlegar-legar jauh di sudut benak hati dan fikiranku. Mengamati liku-liku perjalanan sebagai seorang hamba Allah yang hina dan daif serta khalifah yang diberi amanah jua taklifan di atas muka bumi sang ‘Creater’, aku melihat dunia yang penuh dengan penipuan dan pancaroba di zaman pemerintahan Islam Hadhari pasca kemerdekaan palsu. Perkara ini berlaku kerana telah diekspliotasikan oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kuasa yang pada hakikatnya adalah pinjaman semata-mata.

Sahabat-sahabatku sekalian…

Jika kita menyelusuri sedikit demi sedikit apa yang telah berlaku di bumi ini khususnya Malaysia darul Islam hadhari, banyak perkara-perkara yang mengelirukan dan menghairankan. Aku ingin menyentuh dari aspek hedonisme (hiburan yang keterlaluan) sekaligus menafikan landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Kita dapat melihat orang awam yang melakukan maksiat akan ditangkap dan dicekup oleh pihak berkuasa atau penguatkuasa Jabatan Agama Islam kerana melakukan dosa dan merosakkan aqidah. Akan tetapi jika artis yang melakukan perkara-perkara maksiat di dalam televisyen dianggap halal dan dijadikan bahan tontonan umum dengan alasan sekadar lakonan semata-mata. Orang awam berpeluk cium cumbu di nodai sang nafsu bermaharalalela di anggap satu kesalahan. Perpegang tangan, meraba-raba, bercium mulut, berpeluk-pelukan romantis, dikenakan denda dan hukuman. Akan tetapi golongan artis dan para pelakon yang bertindak sebagai ‘role model’ kononnya, hanyalah dijadikan tontonan dan bahan gelak ketawa. Sedangkan filem inilah sebenarnya yang menjadi dalang ke arah kebejatan dan kerosakan aqidah umat Islam seantero dunia.

 

Mutakhir ini, aku dapat melihat betapa banyaknya filem-filem yang bersifat kontroversi dan menghina agama Islam yang sememangnya suci. Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan dijaga jua dibelai oleh pihak yang berauthoriti. Menghalalkan yang haram, menjadikan sebagai jalan untuk merosakkan pemikiran dan ta’qid umat Islam. begitu juga apa yang berlaku di iklan-iklan televisyen, contohnya iklan syampu dipromosikan dengan wasilah model wanita separuh bogel bersiram di kamar mandi dengan adegan-adegan romantis. Kita sebagai penonton hanya teruskan menonton bagaikan tiada apa perasaan dan kekesalan. Apa yang mampu hanyalah mengetap bibir kehausan dan melafazkan ‘Alhamdulillah... rizkumminallah’. Takpe lah, mungkin perkara ini halal kerana semata-mata lakonan. Mungkin juga dihalalkan kerana tujuan utama mereka ingin mencari nafkah buat isteri dan anak-anak. Alhamdulillah, kalau itulah menjadi alasan dan pegangan, teruskanlah usahamu dalam mencari keredhaan Allah. Marilah sahabat-sahabat kita jauhkan diri dari dunia fitnah yang boleh menjerumus kita ke lembah dan jurang neraka yang amat-amat dahsyat azabnya. Adalah satu perkara yang mustahil jika kita masih memberikan alasan bahawa pekerjaan yang Gharar itu hanya satu-satunya jalan untuk mencari nafkah hidup dan keredhaan Allah. Allah telah menyediakan seluruh perkara  yang ada di langit dan bumi ini untuk hambaNya. Hanya tinggal kita sahaja sebagai hamba perlu mencari dan menggali apa yang telah disediakan oleh Allah swt.

Firman Allah swt dalam al-Quranul Karim:

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang pertunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran. (surah Luqman : ayat 20)

ayuhlah kita sama-sama menyeberang dari dunia fitnah ke alam ‘Maradhatillah’. carilah keberkatan dan keredhaan Allah. Jika kita mahukan yang terbaik dari Allah, buatlah yang terbaik untuk Allah. Ambillah kesempatan untuk kita bertaubat dan tingkatkan amalan di bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Semoga amalan dan taubat kita di terima oleh Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk kita kembali ke pangkal jalan. Baarikillahumalana fi syahri ramadhan.

Wednesday, September 2, 2009

31 OGOS 1957 “ADAKAH KEMERDEKAAN DARI PENJAJAH KEARAH KEMERDEKAAN DARI ISLAM”..??


Salam iman dan taqwa buat cucu-cucuku.. Alhamdulillah ramadhan karim menghiasi peningkatan iman para sahabat dan cucu2ku sekalian. Alhamdulillah sudah 52 tahun  Negara kita mencapai kemerdekaan dari penjajah yang begitu zalim dan menghancurkan tamadun islam satu ketika dahulu. Di mana ketika itu kita dapat melihat dan menyaksikan bagaimana sesi penjajahan dan penyebaran pemikiran dan ideologi sekularisme ke atas rakyat Tanah Melayu yang telah dianjurkan oleh keparat barat ketika itu. Mana mungkin pemikiran virus ini tidak meracuni seluruh penduduk khususnya umat Islam yang ada di Tanah Melayu. Perkara ini boleh dikatakan sama seperti apa yang berlaku di Mesir ketika penjajahan Perancis, Hindia Timur belanda ketika penjajahan Belanda dan Selatan Filipina ketika penjajahan Amerika.

Jika cucu renung sejenak, sepatutnya 52 tahun adalah masa yang lama untuk kita melakukan paradigma perubahan ke arah kebaikan dan membersihkan dari kotoran degil barat yang pernah menjajah negara majoriti umat Islam ini. Sepatutnya kita sudah merdeka dari semua aspek termasuklah pemikiran, pakaian dan akhlak kelakuan. Akan tetapi jauh dari sudut itu, corak pemerintahan di Malaysia juga masih banyak berkiblatkan barat dan jauh sekali dengan apa yang di anjurkan oleh Islam. Dari aspek ekonominya, politiknya, sistem kehakimannya masih bertunjangkan ajaran penjajah. Mengapa mesti mengaku Negara Islam jika meletakkan Islam sebagai perhiasan semata-mata?? Kita bangga dengan sistem yang dilaksanakan pemerintahan atas asuhan dan didikan penjajah, akan tetapi dalam masa yang sama kita menghancurkan peradaban ketamadunan Islam yang suci dan gemilang suatu ketika dahulu. Sama seperti tangan kanan mengorek lubang menggunakan cangkul dalam masa yang sama tangan kiri menimbus semula lubang dengan menggunakan bajak dan boldozer.

Cucuku sekalian

Hasil daripada penerapan sistem yang jelas menyempang dari ajaran Islam ini, akhirnya melahirkan generasi-genarasi yang jelas seolah-olah ingin bebas dan merdeka dari Islam. oleh kerana pembangunan fizikal dan metarial yang telah diterapkan oleh pihak berkuasa akhirnya menjadi satu memontum kepada kelalaian dan kebejatan sosial yang kian meruncing dan parah di negara kita. Lihat sahajalah kesannya, Artis dijadikan ‘qudwatul hasanah’. Barat dijadikan kiblat. Majalah maksiat dijadikan bacaan. Lagu-lagu lagho dijadikan zikir. Maksiat dijadikan amalan. Konsert dijadikan majlis rasmi. Ulama’ dijadikan musuh. Inilah sebenarnya kesan daripada penjajahan pemikiran kafir laknatullah.

Melakukan dosa perkara biasa, malah melakukan dosa dalam keadaan terang-terang satu perkara yang amat membanggakan, seolah-olah dijanjikan syurga Allah. Melakukan perkara baik terlalu takut, malu, sembunyi-sembunyi. Entah buat perkara baik kena bunuh agaknya. masyaAllah.. amat menyedihkan. Pihak yg mahu melaksanakan sunnah nabi di gelak ketawakan, dibenci, dihina, dicaci. Akan tetapi golongan-golongan maksiat dibangga-banggakan. Bukan sahaja tidak mahu melakukan kebaikan malah menolak dan menentang golongan yang ingin melakukan kebaikan.

Sahabat-sahabat generasi muda. Ayuhlah kita sama-sama kembali ke jalan menuju MARADHATILLAH. Adakah kamu lupa Islam pernah gemilang suatu ketika dahulu dan antara peneraju utama ialah golongan-golongan muda. Mengapa kita tidak jadikan rasul sebagai role model. Al-Quran sunnah sebagai pegangan. Ulama’ sebagai panduan. bertaubat adalah jalan terbaik untuk kita sama-sama mengembalikan ‘ketuanan Islam’ yang sudah lama lenyap dek zaman. Bangkitlah umat Islam. marilah bersama-sama berjuang dan mengorbankan diri di saff hadapan di dalam menulusuri era kemodenan  pasca Syariah Islamiah.

Mustafa Mashyur “di akhir zaman ini, Agama Islam dan Umat Islam adalah satu lembah yang berbeza”

 

Friday, August 28, 2009

CINTA SEJATI DAN ABADI

video

RENUNGAN BUAT CUCU-CUCUKU DARI TUKJANGGUT

Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah orang yang menyelamatkan orang Islam yang lain dari gangguan lidah dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah". (Riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam(qiamulail)". (Sahih Muslim)

Abdullah Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya : "Zikir yang paling mulia ialah LA ILAHA ILLALLAH dan doa yang terbaik ialah “Istighfar”.

KISAH BENAR UNTUK DIJADIKAN IKTIBAR


Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemui dalam penyelidikannya. Beliau amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran. Beliau adalah seorang doktor neurologi. Setelah memeluk Islam, beliau amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan  Melalui Al-Qur'an". Kajian perubatan melalui Al-Qur'an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur'an.

Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, bijirin hitam (black seed) dan sebagainya. Apabila ditanya bagaimana beliau tertarik untuk  memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf  di dalam otak manusia yang tidak dimasuki  oleh darah. Sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup  untuk berfungsi secara normal.

Setelah membuat kajian yang memakan masa beberapa lama, akhirnya beliau mendapati   bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan sembahyang. Urat  tersebut memerlukan darah hanya untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermakna bahawa darah hanya akan memasuki  urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam.

Begitulah keagungan ciptaan Allah. Oleh itu, barangsiapa yang tidak menunaikan sembahyang, otaknya tidak akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.Oleh yang demikian, kejadian manusia  ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam  'sepenuhnya' kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini.

Kesimpulannya

Makhluk Allah yang bergelar manusia yang tidak melakukan sembahyang, walau pun akal mereka berfungsi dengan secara normal tetapi sebenarnya dalam sesuatu keadaan mereka akan kehilangan pertimbangan dalam membuat keputusan yang normal.  Justeru itu,  tidak hairanlah jika manusia ini kadang kala tidak segan silu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah kejadiannya, walau pun akal mereka mengetahui bahawa perkara yang akan dilakukan itu adalah bersalahan dengan kehendak  mereka. Inilah kesan daripada ketidakupayaan otak mereka untuk  mempertimbangkan akan perbuatan mereka itu secara lebih normal.  Maka  dengan itu tidak hairanlah timbulnya bermacam-macam gejala-gejala sosial masyarakat mutakhir ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengambil  ikhtibar daripada kisah di atas. Ambillah Islam secara menyeluruh dan bukannya secara sedikit mahupun sebahagian sahaja.

Firman Allah swt di dalam kitab suci al-Quranul Karim:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan (kaffah), dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata”.

(al-Baqarah: 208)