Friday, December 10, 2010

UKHWAH ISLAM VS ASOBIYAH BANGSA


Sejarah berkaitan “Kekalahan Perang Uhud” telah menyedarkan kita kembali betapa umat Islam pada hari ini berada di posisi yang membimbangkan dan lemah hampir dalam setiap lapangan. Perang Teluk yang semakin memecah-belahkan umat demokrasi Aljazair, kisah pembantaian di Bosnia-Hercegovina, pengusiran di Myanmar, intifhada Palestin, Afghanistan. Umat Islam tersudut dan terus terperosok dek serangan minda barat. Demokrasi yang sangat diagungkan di barat dan Amerika dianggap benar dan terus menguntungkan poket Barat keparat, maka demokrasi hanyalah tinggal nama dan telah terlucut dan terlondeh maknanya. Maka demokrasi tetap gah dalam makna “alat untuk mengukuhkan hegemoni Barat” dan tidak untuk Aljazair. Ketika perang Teluk berkobar, respon untuk membantu Quwait segera muncul dan bayangkan bagaimana sibuknya Amerika dengan gaya Polisi Dunia. Bandingan dengan kasus Palestin dan Bosnia. Adilkah?? Jangan ditanya soal keadilan disini. Kerana keadilan telah dibaham kenyang oleh hegemoni mereka, keadilan hanyalah untuk kepentingan mereka. Konsep keadilan yang murni telah disirna dek perut gendut Amerika dan sekutunya. Negara kuat adalah negara kuat, negara lemah tidak akan pernah mempunyai hak yang sama dengan negara kuat, meskipun itu tertulis besar-besaran di dalam fail dan dokumen mereka. Negara kuat apapun tindakannya tetap dapat dikemaskini menjadi “keadilan” kononnya.

Umat pada hari ini berada dalam keadaan lemah, kemampuan ketenteraan, ekonomi, ilmu pengetahuan dan kebudayaan telah terkubur dan sepertinya ingin dilupakan, kalaupun tidak, maka kini menjadi nostalgia manis belaka. Rentetan sejarah mencatat betapa umat Islam hampir tidak pernah kalah dalam setiap pertempuran pemikiran dan ketenteraan, meskipun dengan jumlah prajurit yang lebih sedikit, bahkan emperor Rom yang besar telah dikalahkan General Salahuddin al-Ayubi dalam Perang Salib. Ilmu pengetahuan dan budaya Islam memimpin dunia lebih dari 600 tahun, 350 tahun sebelum tahun 1100 M dan 250 tahun setelah tahun 1100 M. Karya tenun Parsi, arkitek Turki Islam, bahkan cerita seribu satu malam seperti: Aladin, Simbad, Ali Baba, Abu Nawas, memukau banyak budayawan Barat.

Persoalannya, mengapa umat terdahulu terlalu ‘anggun’ dan cemerlang, bayangkan pemerintahan Islam di Cordoba, Sepanyol yang kini menjadi lemah dan sangat lemah, bahkan terinjak dan dihina dek barat dan konco gengsternya? Jawapan dari persoalan ini hendaklah muncul dari renungan diri, tafakur atas masa lampau, masa kini dan peranan yang akan dipikul bebanannya oleh umat masa depan.

Umat terdahulu lebih peduli akan ayat-ayat Allah. Ketika mereka diperintahkan untuk mentadabbur ciptaan Allah, mereka berfikir dan hasilnya adalah “cap A”. Rasa cinta pada Islam muncul dalam karya-karya arkitek masjid, tenunan, ahli perniagaan dll. Bahawa kemenangan PASTI Allah berikan kepada orang-orang yang beriman hanya dan bila orang-orang beriman menjadikan Allah, rasul-Nya sebagai panduan dan pertolongan dan orang-orang beriman sebagai penolong dan bukan pada taghut.

“Dan barangsiapa mengambil Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itu PASTI menang “ (Qur’an 5:56)

Selama umat Islam hari ini tidak melaksanakan perintah ini, maka wajarlah kekalahan menjadi milik umat Islam dalam setiap lapangan samada fizikal mahupun keintelektualan. Walaupun kemenangan yang datang, maka itu bukanlah kemenangan yang haq. Sesungguhnya kemenangan yang haq itu hanya akan muncul setelah Allah dan rasul-Nya terlekat dalam sanubari seorang mukmin, menjadikan Allah sebagai ilah dan rasul-Nya sebagai tauhidul uswah, serta menjadikan orang-orang beriman sebagai saudara ukhuwah. Umat Islam akan selalu menang selama mana 2 potensi Islam ini dilaksanakan: aqidah dan ukhuwah dimiliki dan wujud dalam dunia realiti bukan fantasi dan igauan mimpi yang akhirnya menjadi tragedi ngeri dan misteri.

Islam dengan potensi ukhuwahnya, rentetan sejarah telah membuktikan Islam mampu menyatukan suku Quraisy, mendamaikan suku Aus dan Khazraj di Madinah yang sebelum itu mereka saling bermusuhan. Suku, ras dan bangsa memang telah ada di bumi dan merupakan sunatullah (Al Hujarat:13), namun Islam menolak fahaman pengabdian pada ras, suku atau bangsa terlalu tinggi dan ditempat yang salah. Ras, suku atau bangsa tidak layak untuk berada di maqam tertinggi. Pengabdian hanya layak untuk Allah. Berperang bukan untuk menjadi pahlawan bangsa,akan tetapi sebagai syuhada, berjihad di jalan Allah, untuk mempertahankan aqidah Islam. Suku Aus setelah memeluk Islam tetap suku Aus, begitu juga suku Khazraj. Namun setelah mereka bersyahadah, menyatakan hanya Allah saja tempat pengabdian, hanya Allah saja yang berhak menerima ‘anugerah’ sebagai Tuhan, maka suku Aus atau Khazraj adalah sama, sama-sama mendapat ‘jawatan’ sebagai hamba Allah dan hanya insan yang bertaqwa kedudukannya tinggi di hadapan Allah, mereka terpautkan pada tali aqidah dan mereka tidak lagi menganggap bahwa suku mereka lebih baik dari suku yang lain. Suku dan bangsa hanyalah soal ruang, geografi, administrasi dan akan cair dek cahaya aqidah, ukhuwah serta aturan Islam. Tiada perbezaan antara Salman al-Farisi dari Parsi atau Huzaifah al-Yamani (yang berasal dari Yaman). Suku, ras atau bangsa bukanlah perbezaan yang bermakna dalam Islam.

Potensi ukhuwah sendiri muncul mengikut potensi aqidah dan ukhuwah merupakan nikmat yang Allah berikan yang muncul atas kehendak Allah.

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada TALI ALLAH dan janganlah kamu bercerai-bera dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu, ketika kamu dahulu(masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu lalu MENJADILAH KAMU KERANA NIKMAT ALLAH orang-orang yang BERSAUDARA “ (Qur’an 3:103)

Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar berpegang pada tali Allah, tali aqidah, tali yang amat kuat yang tidak akan putus (Qur’an 2:256). Tali yang mengalahkan bukan saja kesamarataan bangsa, bahkan mampu mengalahkan pertalian darah (kisah ketika Rasulullah hijrah ke Madinah, ramai kaum muslimin Makkah yang terpaksa meninggalkan keluarga, saudara sedarah demi tali aqidah). Manakala hati setiap mukmin telah terikat pada tali aqidah yang tunggal, seorang mukmim sudah terlalu yakin bahawa hanya Allah sahaja yang di cari, redha Allah sahaja yang di harap, hanya Allah sahaja ilah, Khaliq, Malik, Hakim, Pemberi Rezeki kepada makhluk-Nya, barulah Allah akan menurunkan nikmat-Nya berupa persaudaraan, ukhuwah Islamiyah. Hanya Allah sahaja yang mampu mempersatukan hati setiap mukmin.

“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka (orang-orang beriman), akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka “ (Qur’an 8:63)

Dengan demikian ukhuwah adalah persaudaraan aqidah, persaudaraan hati, bukan sekadar persaudaraan fizikal apalagi lisan. Persaudaraan yang menyatukan umat sebagai jasad yang tunggal. Maka saudara-saudara di Bosnia, Palestin, Kahsmir, selatan Thai dll tidak berbeza dengan diri kita yang berada jauh dari mereka, dengan sanak keluarga kita, dengan bapa ibu atau anak-anak kita.

Oleh yang demikian, marilah kita bermuhasabah, untuk menilai diri kita, sudahkah aqidah tauhid ini tertegak dalam diri kita, sudahkah nikmat ukhuwah meresapi hati dan setiap liang-liang rongga badan kita, sudahkah tali-tali Allah merapatkan kita dalam saf yang teratur seakan-akan seperti bangunan yang kukuh yang sangat disukai Allah? Jika umat pada hari ini masih lebih mencintai kaum keluarga, harta kekayaan, pangkat, perniagaan lebih dari pada Allah dan rasul-Nya dan jihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah menurunkan keputusan-Nya, kekalahan secara berepisod, diinjak dan dihina dalam setiap sudut, sehingga Allah menurunkan suatu kaum dimana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya, bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir serta berjihad di jalan Allah dan tidak takut terhadap celaan dan ancaman orang-orang yang suka mencela. (Qur’an 9:24 dan 5:54).

“Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda, aku tak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, akan tetapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membina kembali bangunan itu” (Imam Hasan al-Banna)

Monday, October 25, 2010

Memperingati Syahidnya DR ABD AZIZ RANTISI

Ar-Rantisi adalah seorang tokoh yang telah menyalakan api intifadhah di bumi Palestin. Beliau merupakan salah seorang pemimpin tertinggi HAMAS. Di samping tokoh-tokoh HAMAS lainnya seperti Syeikh Ahmad Yassin dan Syeikh Shalah Syahhadah.

Dr. Rantisi telah memainkan peranan yang amat besar dalam gerakan Islam di Palestin secara umum dan Hamas secara khusus. Beliau bersama-sama pejuang yang lain telah memperkuatkan gerakan ini dan terus mendapat sokongan dan simpati daripada rakyat Palestin dan penduduk dunia.

“Rantisi bagaikan tanaman yang baik dan ditanam di tanah yang subur”, demikian kata salah seorang teman terdekatnya. Sehingga kini gerakan HAMAS terus mendapat dokongan massa dan menjadi benteng utama bagi menghadapi kekejaman zionis yahudi.

Sikap Dr. Rantisi yang tegas yang menjadi sebab utama rejim zionis israel memburu dan menjadikan beliau sebagai sasaran utama, terutama selepas kematian Syeikh Ahmad Yassin.

“Perang dengan zionis israel adalah perang terbuka.”. demikian penegasan beliau kepada penyokong HAMAS.

Pada Jun 2003 tentera zionis israel telah melakukan satu percubaan untuk membunuh beliau. Namun Allah swt telah menyelamatkannya. Setelah berkali-kali israel melakukan usaha pembunuhan, maka pada awal pagi 17 April 2004 mereka berhasil membunuhnya tanpa sebarang peri kemanusiaan.

Namun kematiannya terus menyemarakkan semangat jihad dan pengorbanan dalam jiwa rakyat Palestin untuk membebaskan bumi suci ini dan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman rejim zionis yahudi.

Dr. Rantisi bukan sekadar pemimpin politik gerakan HAMAS. Beliau juga merupakan seorang tokoh dakwah dan pemikir yang memiliki pengaruh kuat di kalangan anak muda. Beliau terkenal sebagai seorang yang tegas, tidak pernah berputus asa serta sentiasa mendampingi para ulama’. Dalam akhlaknya ia meneladani Rasulullah saw dan sahabat Baginda yang mulia.

Malah adik beliau, Muhammad Rantisi mengatakan: “…ketegasan Dr. Rantisidalam pidato politiknya merupakan cermin keyakinan dan keimanannya terhadap perjuangan yang didasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan pemahaman yang benar tentang Islam”.

Dalam pada itu, orang yang rapat dengannya akan mengenal peribadinya yang tersendiri. Beliau adalah seorang yang suka bergurau senda dan mudah didekati serta cukup mesra. Beliau tidak pernah segan bermain ping pong dengan para pemuda dan kegiatan olahraga lainnya dengan suasana yang begitu mesra. Beliau juga amat menyayangi isteri, anak-anak serta anggota keluarga.

Dr. Rantisi pernah ditahan dipenjara israel lebih 9 tahun. Dan dihalau dari bumi Palestin.

Meskipun beliau tegas dalam kebenaran, kuat dan gagah dalam berperang namun beliau adalah seorang yang penyayang dan penyantun terhadap umat dan sahabatnya. Beliau bergurau dan bermain, mengucapkan salam pada yang kecil dan besar, bergurau pada anak-anak dan dewasa, laki-laki dan perempuan dalam suasana kasih sayang dan kelembutan.

Seorang sahabat rapat Dr. Rantisi berkata,”…pernah dalam salah satu kunjungan yang saya lakukan ke rumah saudaraku, Dr. Rantisi, beberapa bulan sebelum ia menemui syahidnya, saya habiskan malam itu bersamanya. Beliau melakukan solat malam sementara saya tidur. Ketika fajar Rantisi membangunkan saya dan kami solat berjemaah. Pada saat doa qunut beliau berdoa bersungguh-sungguh dan mengulang-ulang ayat: “…Ya Allah kurniakan kepadaku mati syahid, teguhkan kami dalam perjuangan yang suci ini”. Doa itu diulang-ulang hingga aku turut berdoa agar Allah swt memberikan kepadanya syahid”.

Dr. rantisi menyedari bahawa dirinya adalah sasaran utama rejim zionis israel setelah dilantik sebagai pemimpin baru HAMAS di Gaza bagi menggantikan Syeikh Ahmad Yassin. Beliau amat bersedia akan takdir Allah swt dan siap sedia menghadapi mati syahid.

Namun beliau tetap berhati-hati dalam setiap perjalanan serta gerak-geri hariannya. Beliau jarang menemui isteri dan anak-anaknya kerana keselamatan dan sentiasa berpindah tempat bermalam. Beliau sentiasa melahirkan keyakinan dan pertolongan Allah swt atau mati syahid dan yakin bahawa ajalnya berada di tangan Allah swt, bukannya di tangan rejim zionis israel.

Rantisi pernah menegaskan kepada stesen TV al-Jazeera: “…kematian hanya sekali dansaya berharap akan mati dijalanNya. Kematian yang paling utama bagi saya adalah dengan roket helicopter Apache israel”.

Inilah yang diharapkannya dan beliau telah benar-benar mendapat apa yang dicita-citakannya.

Seorang wartawan dari Switzerland pernah datang ke perkhemahan Dr. Rantisi di Maraj Zuhur untuk mewawancara beliau. Beliau bertanya apakah (Rantisi dan kawan-kawannya) menerima Negara israel? Dr. Rantisi “…apakah yang kamu katakan? Dari mana anda?”. Wartawan itu menjawab “dari Swiss”. Rantisi berkata tegas “adakah anda menerima negara israel di dalam Negara Swiss?”. Wartawan itu menjawab “tidak..tidak”. justeru Rantisi terus berkata “bagaimana anda meminta kepada saya untuk menerima sesuatu yang anda sendiri menolaknya?”.

Rantisi pernah berkata kepada sahabat-sahabatnya “…seandainya Rantisi, Mahmoud Zahhar, Ismail Haneya, Nazzar Rayyan dan Said Seyam (semuanya pemimpin HAMAS) pergi dan semua pemimpin terbunuh, maka kami semakin dekat dengan cinta kami! Ruh-ruh kami akan saling berpelukan di sisi Allah swt kelak. Saya tegaskan bahawa TIDAK ADA KOMPROMI DENGAN REJIM ZIONIS ISRAEL. Kami tidak akan menyerah dan tidak ada kehinaan secara mutlak”.

Dengan kalimat inilah Dr. Rantisi memberi pidatonya dan menyeru rakyat Palestin agar terus berjuang dan tidak mundur dalam menentang sebarang kekejaman dan kezaliman zionis israel. Beliau syahid pada 17 april 2004, sementara kata-katanya masih bergema dan hidup dalam sanubari rakyat Palestin dan umat islam amnya.

Inilah Dr Abd Aziz Rantisi yang merupakan obor kepada perjuangan di Palestin. Walaupun menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, beliau telah pergi meningalkan kita dengan cucuran darah syuhada’ yang mengalir membasahi bumi suci Palestin. Selamat tinggal bapa dan saudaraku.

Thursday, July 22, 2010

Bila Demokrasi Kampus Di "Liwat"

"Kecewa dengan program sambutan adik-adik baru di UKM".... Mungkin hanya ungkapan ini sahaja yang layak ditujukan kepada koordinator program orientasi untuk mahasiswa UKM. Waktu artikel ini ditulis adalah ketika berlangsungnya "perang dectar' yang dikatakan majlis kemuncak minggu orientasi ukm. Program yang mana menafikan hak agama dan adab sebagai makhluk Tuhan. Begitu banyak sekali aduan yang diterima dari para peserta sepanjang minggu sambutan ini dijalankan. Kita tidak merasakan program ini untuk menerangkan halatuju peserta ketika berada di menara gading akan tetapi program berunsur doktrinisasi dan acara hedonisme lebih mendomonasi program tersebut. Kita setuju dengan memasukkan unsur hiburan ke dalam program ini atas dasar ingin meraikan adik-adik baru akan tetapi bukanlah secara berlebih-lebihan. Sewajarnya aspek tarbiyah perlu dititikberatkan, kesedaran tentang peri pentingnya mencari ilmu dan mengamalkan ilmu ketika di menara gading adalah lebih penting dari segalanya. bukan mengajar 'cheers' siapa yang paling hebat, kolej mana yang paling menarik dan sebagainya.

Umum mengetahui tentang kejatuhan moral yang kian meruncing di kalangan mahasiswa. Oleh itu, perkara ini seharusnya digalaskan di atas bahu setiap koordinator dan fasilitator untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa baru supaya perkara ini tidak berlaku di zaman mereka sekaligus menyebabkan graf tentang masalah-masalah moral berkurangan. Begitu juga dengan masalah pelajaran mahasiswa yang kian terjejas dek kerana percampuran ilmu dan perkara-perkara negatif wujud di permukiman ilmu. Hal ini menyebabkan ruh semangat keikhlasan dalam mencari ilmu kian terjejas. Lihat sahaja program-program yang didendangkan tidak jauh berbeza dengan program realiti di kaca televisyen, di corong-corong radio dan diluar sana seperti akademi fantasia, malaysian idol, jom heboh dan yang terbaru showdown 2010. tiada bezanya apa yang berlaku di UKM, program-program yang dijalankan berbaur hedonisme seperti konsert artis yang dilaksanakan di dalam pesta konvo, begitu juga yang berlaku dikolej-kolej kediaman ketika mana 'family day' dijalankan seperti 'the batle of the band', 'the batle of the sexy', pertandingan karaoke dan sebagainya.

Kita juga merasa terkilan apabila ada pihak yang mengatakan pergaulan mahasiswa dan mahasiswi ketika minggu mesra pelajar baru adalah perkara biasa di universiti untuk bertukar-tukar pendapat dan idea. Mahasiswa bukan menolak pergaulan tersebut kalau ianya benar-benar untuk bertukar idea dan pendapat dan bersifat 'study group' akan tetapi adakah yang dilaksanakan ketika 'perang dectar' (salah satu program dalam minggu mesra pelajar baru) bercampur jantina dan ditutup lampu dewan dengan alasan untuk lawan sorak antara kolej siapa yang paling 'power'. Lagi menyedihkan perkara ini tamat pada jam 2pagi. adakah perkara ini hanya semata-mata untuk bertukar idea dan pendapat sepertimana yang dicanangkan oleh sesetengah pihak??

Berhibur bukanlah satu kesalahan dalam kehidupan seorang yang bertamadun akan tetapi ianya satu rahmat dan nikmat dari Tuhan, akan tetapi bukanlah hiburan yang berlebih-lebihan sehinggakan mengundang maksiat dan dosa, apatah lagi jika ianya berlaku di medan mencari ilmu. Bukankah terhalang untuk menerima ilmu bagi seorang yang hatinya penuh dengan maksiat dan dosa. Jika dilihat hiburan-hiburan yang dilaksanakan di UKM boleh dikatakan melampau-lampau dan berlebih-lebihan. perkara negatif seperti ini seharusnya tidak layak dilaksanakan di bumi mencari ilmu. Ia satu perkara yang bertentangan dengan prinsip bagi seorang pencinta ilmu.

Selain itu, mahasiswa juga membantah agenda ,mendoktrinisasi mahasiswa baru yang dibuat oleh sesetengah pihak. mereka pergi ke kolej-kolej kediaman dengan kerjasama pihak jaksa lalu menceritakan keburukan beberapa persatuan yang dikatakan tidak sehaluan dengan mereka. Ada juga yang mengedarkan borang-borang keahlian persatuan haram yang tidak berdaftar kepada pelajar-pelajar baru. Lagi menyedihkan perkara ini dilakukan oleh "menteri-menteri" persatuan induk UKM. Mengapa perkara ini seharusnya berlaku pada minggu pertama pelajar masuk. Kita ingin menasihatkan kepada mereka-mereka yang yang melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab ini, Jika kalian di pihak yang benar mengapa tidak berlawan di atas padang yang rata. Mengapa mesti melakukan secara 'diam-diam'? Mengapa bila ditanya kalian bermati-matian menafikan perkara tersebut? Baling batu sembunyi tangan dalam poket seluar yang bocor... kalian silap...! Kepada seluruh mahasiswa, kami berjanji akan membongkar segala tuduhan dengan hujah, fakta dan bukti. Bila? Di mana? Tungguuu....

Akhirnya, harapan kami sebagai seorang mahasiswa prihatin kepada mahasiswa baru, pijaklah di atas bumi yang nyata, kalian mesti sedar bahawa kalian berada di Universiti Kebangsaan Malaysia, satu tempat yang suci dimana sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan. Oleh itu, konsep mencari dan mengamalkan ilmu itu mestilah selaras dan sederap dilaksanakan. bukan hanya sekadar mencari ilmu semata-mata di dewan kuliah dan hanya melepaskan di kertas soalan ketika final dijalankan. Akan tetapi, jadikanlah ilmu itu untuk kita berfikir secara waras dan mengasingkan antara perkara positif dan negatif. Ingat! kita golongan muda yang berpotensi untuk mengubah dan corak kehidupan dunia. Mengubah dan berhijrah ke arah kebaikan itu adalah tanggungjawab kita bersama. Kitalah aset kepada negara! kitalah agen perubah! Bersatu Berubah!!

"Aku menyukai orang-orang yang soleh walaupun aku bukan di kalangan mereka, moga aku juga satu masa nanti aku dapat mencapai syafaat dari mereka dan aku benci kepada orang yang membuat maksiat walaupun kadang-kadang aku berada dikalangan mereka" (Imam an-Nawawi)

Islam Kembali Gemilang

Umum mengetahui tentang sejarah kebangkitan dan kegemilangan Islam satu ketika dulu. Ketika mana Islam melebar sayap menebar sinaran ufuk sehinggalah menjadi agama dominasi dunia. pada ketika itu jika dilihat semuanya meletakkan redha dan tawakal kepada Allah. Apa jua arahan yang diberikan dari baginda Muhammad saw, semua wala' dan 'lumayan' dalam bergerak kerja bagi memastikan dakwah Islam tersebar luas. Begitu juga pemerintahan seterusnya ketika mana zaman sahabat iaitu zaman Khulafa' al-Rashidin. walaupun nabi telah pergi buat selama-lamanya akan tetapi Islam tetap di tatang dan bagi meneruskan kesinambungan jihad fi sabilillah maka Islam di luaskan empayar kekuasaannya. keyakinan kita terhadap perkara ini ialah dengan usaha yang gigih serta nusra daripada Allah swt. bagaimana kita boleh yakin dengan bantuan dari Allah, maka jawapannya ialah meletakkan hak Islam di maqam yang tepat.

Akan tetapi hal ini hanya tinggal sejarah semata-mata. Kita sering kali menceritakan tentang kegemilangan umat terdahulu, tapi sekadar bercerita kosong tanpa ada anjakan paradigma mengulangi kisah kebangkitan Islam seperti mana yang lakukan oleh umat sebelum kita. lihat saja isu Palestin yang tidak pernah lenyap sehingga kini. hanya membenarkan mulut berkata-kata. berdegar-degar sang pejuang kononnya melaungkan selogan 'anti yahudi' akan tetapi selogan tinggal selogan. ada juga yang mengambil kesempatan mencari kekayaan di sebalik tirai program-program 'anti zionis'. begitu juga yang ada kuasa authoriti hanya menjadikan isu ini sebagai batu loncatan untuk meletakkan nama mereka terkenal dan dianggap seorang pejuang kemanusiaan kononnya. OIC tinggal oooo...i see sampai mati..

Secara rasionalnya, sebagai golongan umat manusia yang jumlah bilangannya menjangkau satu perlima dari penduduk dunia, dengan memiliki khazanah perbendaharaan bumi yang melimpah dan kawasan permukaan alam yang luas selain diwarnai dengan pelbagai etnik, rumpun bangsa, bahasa, budaya dan warna kulit tentunya wajar sekali Islam dan umatnya berada di barisan hadapan dalam percaturan politik dunia dan seharusnya duduk sebagai Anggota Tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu demi memelihara kepentingan negara dan maruah bangsa.

Kesatuan dan kekuatan umat itu seharusnya disertai dengan kekentalan iman dan taqwa terhadap Allah swt dan RasulNya bagi menjamin kesejahteraan yang berkekalan. Hakikatnya, alam Islam memerlukan pimpinan dinamik ke arah itu dan melihat penghayatan dan kesedaran umat terhadap kesyumulan Islam sebagai wadah terbaik bagi kebahagiaan masyarakat manusia umum yang turut diterima oleh masyarakat bukan Islam, sesuatu yang aneh dan menakjubkan jika bumi diluar rantau Empayar Islam seperti Malaysia misalnya mampu melahirkan jemaah pimpinan yang berupaya membawa umat dan manusia seduania ke arah kedamaian, ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan sebagaimana yang diimpikan. "al'islamu ya'lu wala yu'la alaih"


Monday, January 18, 2010

Sunnah Berdakwah

Firman Allah yang bermaksud “Serulah manusia kepada jalan TuhanMu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik Sesungguhnya TuhanMu yang lebih mengetahui mengenai siapa yang tersesat daripada jalanNya dan Dia yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk”.- [al-Nahl :125]

Menerusi ayat di atas Allah mengemukakan terdapat tiga cara berdakwah yang boleh dilakukan.
Pertama,berdakwah secara berhikmah dan bijaksana dengan tutur bahasa yang lembut serta menarik berserta bukti yang jelas,kukuh dan boleh menghilangkan sebarang kesamaran dan keraguan.

Kedua,serulah manusia dengan kata-kata yang mengandungi pengajaran seperti kisah umat terdahulu kerana dengan mengingati peristiwa yang menimpa umat terdahulu akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada jiwa mereka dari ingkar terhadap Allah.

Ketiga,berdakwah melalui perbincangan,muzakarah dan dialog dalam suasana yang penuh kemesraan dan harmoni bukan menggunakan kata2 kesat dan keji kerana tujuan perbincangan adalah untuk menyampaikan kebenaran bukan mencari kemenangan.

Para pendakwah tidak harus tergesa-gesa dalam menyampaikan dakwah mereka.Mereka harus mengkaji terlebih dahulu golongan sasar mereka kerana setiap golongan masyarakat yang berbeza memerlukan cara yang berlainan.

Imam Ibnu Taimiyah pernah membahagikan manusia kepada tiga golongan.

Pertama,orang yang mudah menerima kebenaran dan terus mengikutinya.Inilah orang yang bijaksana.

Kedua,orang yang mahu menerima kebenaran tetapi tidak mahu mengamalkan.Mereka perlulah sentiasa dinasihati sehingga mengamalkan.

Ketiga,orang yang tidak mahu menerima kebenaran.Mereka perlu diajak berbincang dan berdialog secara yang paling baik.

Tuesday, November 10, 2009

KISAH HAMBA ALLAH YANG AMANAH KETIKA HIDUP DAN MATINYA


Ketika berlangsungnya perang salib, ad terdapat beberapa peristiwa yang menarik. Peristiwa ini adalah mengenai seorang penyelam (juru selam)muslim yang bernama ‘Isa’. Beliau membawa masuk sejumlah surat dan perbekalan ke Akka dengan cara mengikat di pinggangnya, pada waktu malam di saat musuh tidak sedar, beliau menyelam dan keluar dari tepi sebelah perahu pihak musuh.

Pada suatu malam diikat di pinggangnya tiga buah bungkusan berisikan satu ribu dinar dan sejumlah surat-surat yang berkenaan dengan urusan ketenteraan. Isa menyelam ke dalam laut, rupa-rupanya beliau menemui ajal. Berita mengenainya terlambat sampai kepada tentera yang menunggunya. Menurut kebiasaannya, bila beliau memasuki Bandar Akka, seekor burung akan terbang untuk memberitahu kamimengenai kehadirannya. Burung yang ditunggu-tunggu tidak datang, tentera yang menantinya khuatir jika Isa menemui ajal.

Setelah selang beberapa hari, sewaktu salah seorang penduduk berada di tepi laut Akka, tiba-tiba ombak telah membawa seorang yang telah mati lemas ke tepi pantai. Rupa-rupanya dialah juru selam Isa tersebut. Mereka menemui emas dan surat-surat di pinggangnya. Emas itu adalah kegunaan perbelanjaan para pejuang Islam. Tidak pernah diceritakan orang mengenai seseorang yang menunaikan amanah semasa hidup dan setelah mati kecuali lelaki (juru selam) ini.